Definisi Membaca



Harris dan Sipay (1980) mendefinisikan bahawa membaca menegaskan keperluan seseorang itu mahir atau dapat membaca lambang-lambang bercetak bagi memberikan makna terhadap lambang yang dibacanya. Menurut Harris dan Sepay, keupayaan seseorang membaca adalah dilihat melalui kepandaian seseorang itu membezakan antara lambang yang bertulis dalam sesuatu bentuk tulisan tertentu dan lambang yang bukan bertulis, iaitu dalam bentuk lukisan bagi mengungkap sesuatu objek atau konsep tertentu. Hal ini secara tidak langsung akan membuktikan bahawa seseorang itu sama ada “celik huruf” atau pun “buta huruf”. Namun begitu, kebanyakan tulisan yang terdapat di dunia ini merupakan lambang lukisan yang telah dipermudahkan. Contohnya adalah seperti aksara Cina, Jepun, Korea dan sebagainya merupakan lambang lukisan yang mewakili sesuatu objek atau konsep yang ingin diterjemahkan.

Smith & Johnson (1980), definisi mereka banyak berkisar tentang proses membaca sebagai satu proses komunikasi antara pembaca dan penulis. Menurut mereka, membaca ialah proses memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis menerusi bahan yang dihasilkannya seperti  dalam bentuk paparan bertulis. Keupayaan membaca adalah keupayaan seseorang untuk membuat tanggapan terhadap apa yang ingin dimaksudkan oleh penulis. Definisi tersebut hampir bertepatan dengan definisi yang telah diutarakan oleh Safiah Othman (1991) iaitu selagi seseorang itu tidak memahami apa yang dibaca maka seseorang itu  belum lagi membaca. Selagi mereka  mempunyai masalah dalam proses memberi makna, hal ini bermakna mereka  belum lagi  membaca.

Definisi Goodman (1973) pula mempunyai sedikit perbezaan dengan ketiga-tiga kumpulan tokoh di atas. Goodman telah membuat kajian tentang kebolehan seseorang  membaca. Kajian ini dibuat untuk  menjawab persoalan sejauh manakah sesuatu bahan tersebut dapat dibaca oleh seseorang pelajar. Goodman juga ada menyatakan bahawa membaca merupakan  salah satu permainan teka-teki. Hal ini bermaksud, pembaca tidak semestinya mengetahui ungkapan kata-kata yang terdapat pada bahan yang dibacanya, tetapi mereka membuat tekaan terhadap sesuatu perkataan itu berdasarkan maksud yang paling hampir dengan perkataan yang beliau tidak pasti. Pembaca akan terus melakukan proses meneka dan kemudiannya akan membetulkannya  sekiranya masih terdapat keraguan makna dan menukarkannya kepada perkataan lain yang diyakininya lebih tepat.

Menurut Mahzan (2003) pula, membaca adalah proses membina jambatan antara apa yang terdapat di permukaan bertulis dengan apa yang terdapat dalam minda pembaca. Definisi dibuat berdasarkan satu teori bacaan yang amat popular  sekitar tahun 1990-an  iaitu teori skema. Teori ini banyak berkaitan dengan pengumpulan maklumat berkaitan dengan pengalaman yang dihadapi dalam hidup mereka dan akan di simpan di minda mereka. Pengalaman latar ini akan kekal dalam minda dan akan digunakan untuk memperkayakan lagi minda mereka dengan pengalaman yang baru. Semakin banyak pengalaman latar yang dikumpul, semakin banyak mindanya.  Bak kata pepatah,  jauh perjalanan luas pandangan. Selain itu, Mahzan pula menyatakan bahawa proses membaca ialah proses mengaitkan apa yang terdapat dalam minda seseorang dengan apa yang dibacanya di permukaan yang bertulis. Semakin banyak seseorang itu mengetahui tentang sesuatu isu, semakin mudahlah beliau memahami apa yang dibaca.


No comments:

Post a Comment