PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA
Terdapat beberapa langkah atau pendekatan yang boleh digunakan oleh guru untuk membantu pelajar bagi memastikan pelajar dapat menguasai sesuatu kemahiran seperti membaca. Dalam konteks ini, ia merangkumi beberapa aspek antaranya ialah pengalaman pelajar, teks yang digunakan serta kebolehan pelajar. Pendekatan mengajar membaca yang sesuai perlu digunakan oleh guru bagi memastikan pelajar dapat menguasai kemahiran membaca. Pendekatan yang sama tidak boleh digunakan untuk semua individu dan peringkat umur.
Pendekatan Membaca Asas
Menurut Kamarudin Husin (1996), membaca adalah satu usaha menyuarakan tulisan dan mengambil isi fikiran yang tertulis dan memahamkan kandungannya. Menurut beliau lagi, seorang pembaca perlu mengarahkan pengetahuan yang sedia ada padanya untuk memberi makna pada lambang-lambang tulisan yang dibaca, seterusnya, mendapatkan erti daripada lambang-lambang tulisan tersebut. Pendekatan ini meliputi aktiviti mengajar bahasa biasa yang menggunakan pelbagai kemahiran. Tujuannya adalah rekreasi, mencari maklumat serta bimbingan. Pendekatan ini juga turut menekankan kesinambungan pengulangan dan mengulang kaji perkara yang telah diajar. Hal ini bermakna, pelajar hendaklah sentiasa membuat latihan terhadap tajuk-tajuk yang telah diajar selain daripada membuat penambahan bahan kepada perkara yang telah diajar agar dapat membantu pelajar dalam menguasai kemahiran membaca.
Seterusnya, dalam pendekatan ini pola dan perbendaharaan kata turut dipandang serius. Guru-guru perlu menjelaskan dengan terperinci terhadap sesuatu perkara agar bilangan perkataan yang digunakan oleh pelajar dapat dikira dengan tepat dalam waktu-waktu tertentu. Malah, perkara yang lebih penting dalam pendekatan ini adalah guru yang perlu memikirkan kebolehan dan pengalaman yang dimiliki oleh pelajar dalam peringkat menguasai kemahiran membaca.
Pendekatan ini mempunyai prinsip yang tertentu seperti pengajaran perkembangan kemahiran. Hal ini merujuk kepada guru menekankan aspek yang penting dalam pengajaran. Misalnya, semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru akan menulis menggunakan papan hitam. Kemudian, guru akan menggariskan perkara-perkara yang penting yang ingin diberi perhatian. Malah, dalam pendekatan membaca asas juga, ia turut meliputi membaca secara terarah yang terbahagi kepada lima cara iaitu motivasi, persediaan latar belakang, menetapkan tujuan, membaca semula secara senyap mahupun lisan secara terarah dan juga tindak balas dan perluasan.
Berdasarkan konteks motivasi, ia berdasarkan latar pengalaman, kuiz, menyelesaikan masalah, dan sebagainya. Guru boleh melakukan aktiviti seperti kuiz dalam kelas agar pelajar lebih bersemangat untuk belajar dan lebih memahami terhadap perkara yang diajar. Seterusnya, persediaan latar belakang yang merujuk kepada perkataan yang sukar atau asing yang disebut oleh guru. Kemudian, guru meminta pelajar untuk menggunakan perkataan tersebut dalam konteks perbualan atau karangan. Malah, guru juga boleh meminta pelajar untuk meneka makna perkataan asing yang digunakan itu. Malah, dalam konteks ini guru dan pelajar perlulah menetapkan tujuan bagi mendapatkan hasil yang diperoleh apabila membaca sesuatu teks sama ada memberikan unsur humor, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Pelajar juga boleh membaca secara senyap atau lisan secara terarah. Cara ini menunjukkan cara guru membiarkan pelajar membaca senyap atau menghayati teks terlebih dahulu sebelum menjawab soalan. Pada masa yang sama, guru boleh membantu pelajar secara individu dan secara tidak langsung dapat membantu pelajar yang lemah dalam membaca.
Pendekatan Teknologikal
Pendekatan ini menekankan keupayaan menghasilkan pengajaran berurutan yang dapat dilakukan semula pada masa yang lain. Malah turut menekankan perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera serta diberikan bukti kebenarannya. Pendekatan ini dilabelkan sebagai sistem membaca berdasarkan objektif program berdasarkan kriteria, membaca berdasarkan kecekapan, sistem pengurusan kemahiran dan membaca berdasarkan perspektif diagnostik.
Pendekatan ini juga terdapat beberapa aspek antaranya ialah berkenaan dengan objektif tingkah laku. Pelajar perlu memahami dan mengenal pasti perkataan, objektif terhadap sesuatu pemahaman serta kemahiran belajar. Seterusnya ialah ujian kriteria bagi setiap objektif. Perkara ini bagi menentukan status dan kedudukan individu dengan merujuk kepada tingkah laku, contohnya kemahiran membaca atau beberapa kemahiran lain dalam kemahiran membaca. Pada masa yang sama, rangsangan yang diberikan hendaklah sesuai dengan setiap objektif yang telah ditetapkan. Selain itu, strategi pengajaran juga perlu digunakan dalam pendekatan teknologikal yang merujuk kepada strategi yang wujud dalam bentuk bahan, program pelajaran atau aktiviti pelajar yang memerlukan tindak balas. Di samping strategi melalui contoh dan penerangan membantu pelajar mencapai objektif yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah sistem pengajaran, ia hanya menawarkan sumber khusus. Hal ini kerana setiap pelaksanaan pengajaran menarik, akan membatu pelajar dalam menguasai kemahiran membaca. Aspek terakhir ialah sistem menyimpan rekod.
Pendekatan Pengalaman Bahasa
Pendekatan ini merujuk kepada pelajar yang mempunyai perbezaan linguistik dan mempunyai kelebihan tertentu seperti guru dapat menilai penggunaan sintaksis dan struktur ayat apabila pelajar menggunakan bahasa lisan itu sendiri, dapat menggabungkan penulisan dalam mengarang cerita daripada pengalaman individu atau kumpulan, dapat mengembangkan perbendaharaan kata dan sintaksis apabila menulis cerita daripada bahan yang didengari serta hasilnya akan membuatkan kesan yang positif.
Pendekatan ini melibatkan aktiviti hubungan antara pemikiran, peraturan, penulisan dan membaca. Guru merangsang pelajar mengenai sesuatu perkara yang diajar. Pada masa yang sama, pelajar hendaklah melahirkan pemikiran secara lisan berdasarkan huraian situasi, analisis masalah serta beberapa cadangan penyelesaian daripada perkara yang dilihat. Melihat kepada konteks ini, ia menjelaskan bahawa perkara yang difikirkan, diucapkan dan dituliskan sangat bermakna. Hal ini kerana ia secara tidak langsung menunjukkan pemahaman pelajar terhadap sesuatu perkara. Pendekatan ini menjelaskan terhadap bahan dan kandungan yang perlu dilaksanakan oleh guru seperti tidak menggunakan buku teks yang tertentu. Hal ini disebabkan oleh pendekatan yang merujuk kepada kaedah yang berfokus kepada pengalaman. Kemudiannya, perbendaharaan kata dan pola ayat juga dibina sendiri oleh pelajar. Malah, isi kandungan yang dijelmakan merupakan refleksi daripada pengalaman pelajar sendiri dan aktiviti yang dijalankan.
Pendekatan ini mempunyai kaedah pengajaran yang tertentu antaranya guru perlu berfikir dan melahirkan rangsangan penulisan, menulis pemikiran yang diucapkan, membaca perkara yang ditulis, membuat generalisasi berkenaan dengan pola ejaan dan ayat yang ditulis serta menyatakan cara pemilihan dan penyusunan yang mempunyai kesan ke atas makna sesuatu ayat. Walau bagaimanapun, pendekatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri seperti hubungan yang rapat antara belajar membaca dengan kepentingan pelajar sendiri, perhatian dan bahasa yang digunakan. Kemudian, menghasilkan kesepaduan dalam semua kemahiran berbahasa seperti berfikir, bertutur, mendengar dan menulis serta membaca. Sementara itu, kekurangannya pula adalah pendekatan ini memerlukan guru mengakses pengalaman dan kemudian ia menyalurkan pengalaman itu bagi tujuan perkembangan bahasa. Malah, pendekatan ini juga akan menyebabkan penggunaan perkembangan mental yang kompleks. Hal ini kerana perbualan biasa bergantung kepada konteks dan bahasa badan yang digunakan bagi memudahkan pemahaman.
Pendekatan Membaca Individu
Pendekatan ini lebih menekankan aspek pemeringkatan yang berbeza dalam pembacaan individu. Malah, ia juga menekankan aspek pemilihan bahan bacaan yang mengaitkannya dengan keperluan, minat dan keupayaan seseorang untuk membaca. Pada masa ini, guru-guru perlu membantu cara memiliki buku dengan penyiringan serta menerangkan kesukaran ketika membaca. Biasanya, guru akan memberi peluang kepada pelajar untuk membaca secara meluas serta bebas berdasarkan buku dan majalah pelbagai tajuk.
Tujuan pendekatan ini dilaksanakan adalah kerana ia merupakan salah satu yang memberi kesan yang meluas dalam menarik minat membaca pelajar serta komitmen yang menjadikan aktiviti membaca sesuatu yang bernilai dalam kehidupan. Malah, melalui pendekkan ini ia dapat membantu untuk mengembangkan kecekapan kemahiran bahasa yang luas bermula dengan memilih kata yang mudah kepada aplikasi kemahiran bahasa dengan kandungan yang lebih kompleks. Pada masa yang sama, pendekatan ini turut menambahkan keupayaan pelajar untuk memahami dan menilai bahan bacaan seperti meluaskan keupayaan mengingat semula perkara yang telah dibaca sama ada dapat memahami secara keseluruhan atau tidak.
Pelaksanaan pendekatan ini, perlu dilaksanakan melalui beberapa prinsip. Guru boleh memilih sama ada ingin menggunakan prinsip pilihan kendiri atau perbincangan antara guru dan pelajar. Aspek pemilihan kendiri pula, guru perlu mempercayai setiap kanak-kanak memilih buku yang berdasarkan minat dan kepercayaan. Pegangan dan kepercayaan ini akan mempengaruhi pemilihan kaedah, bahan dan alatan yang digunakan (Marohaini Yusoff, 1989). Hal ini kerana secara tidak langsung akan membantu pelajar dalam mengembangkan penguasaannya dalam membaca. Kemudian, dalam aspek perbincangan antara guru dan murid, melalui aspek ini pengajaran dilaksanakan secara personel atau konferensi. Malah, ia juga melibatkan penglibatan murid serta menggunakan huraian yang sesuai. Guru yang melaksanakan pendekatan ini perlu merekod huraian bacaan pelajar dalam konteks kelebihan serta kekurangan.
Pendekatan Bahasa Bersepadu berdasarkan Falsafah Bahasa Keseluruhan
Pendekatan ini lebih kepada mencerminkan teori utama yang berasaskan bahasa kedua dan membina kekuatan linguistik pelajar. Pada masa ini pelajar membaca bagi keseronokan dan pada masa yang sama dapat mencari maklumat. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa mendapatkan maklumat merupakan matlamat utama pendekatan ini. Guru amat diperlukan pada masa ini kerana guru harus membantu pelajar untuk menyelesaikan masalah pelajar.
Selain itu, pendekatan ini juga pelajar mempunyai pilihan yang tersendiri untuk belajar semua kemahiran membaca yang wujud berpusatkan pelajar dan fungsi guru sebagai fasilitator pembelajaran. Pengajaran guru yang menggunakan pendekatan ini menggunakan sifat autentik terlalu penting kepada pelajar bahasa pertama dan kedua. Guru-guru digalakkan membina pengajaran dengan menggunakan kesusasteraan untuk menyediakan pendidikan yang bersifat multi budaya kepada semua pelajar. Di samping itu, melalui pendekatan ini pelajar dapat mengembangkan penguasaan bahasa semula jadi yang menekankan makna dalam konteks dan pengalaman pelajar bagi memudahkan pemahaman membaca.
Pendekatan Membaca berasaskan Bahan Kesusasteraan
Pendekatan ini pula menekankan bahan-bahan kesusasteraan yang mungkin dalam bentuk yang paling asas. Malah, melalui pendekatan ini juga, pembinaan kebolehan berbahasa dapat diterapkan, bahan sastera yang digunakan pada peringkat awal membaca. Hal in kerana ia dapat mendorong pelajar untuk lebih memahami dengan lebih meluas berkenaan dengan aspek bahasa yang terkandung dalam struktur ayat. Membaca menggunakan bahasa kesusasteraan juga akan memperlihatkan keindahan bahasa yang wujud dalam bahan itu sehingga pelajar dapat mengetahui dan memahami jalan cerita yang ingin disampaikan.
Sementara itu, sebagaimana yang sedia maklum negara Malaysia mempunyai pelajar yang berbilang kaum dan secara tidak langsung penggunaan sastera etnik yang lain akan membantu pelajar untuk memahami serta mengamalkan rasa saling bersatu dalam satu kelompok pelbagai etnik. Konteks pendidikan bahasa di Malaysia, KOMSAS merupakan komponen sastera yang dapat membantu pelajar untuk mencapai tahap kemahiran membaca.
Pendekatan Pembacaan Lisan
Pendekatan pembacaan lisan, ia boleh dilakukan dengan menggunakan buku kerana ia mempunyai bahasa yang mengulangi sesuatu bahan seperti guru membaca teks yang terdapat dalam buku, kemudian pelajar mengikutinya. Malah, perbincangan boleh dilakukan berkenaan dengan cerita yang disampaikan dan membacanya sekali lagi. Pembacaan ini dilakukan secara berulang-ulang.
Pendekatan Pembacaan Asas
Semasa guru menggunakan pendekatan ini, pelajar perlu memberi perhatian melalui beberapa aspek yang diketengahkan. Aspek tersebut ialah mengembangkan konsep latar belakang dan perbendaharaan kata sebelum membaca, mahir mengemukakan soalan semasa membaca senyap bagi mengenal pasti dan menghapuskan kekeliruan serta bagi meningkatkan pemahaman pelajar. Aspek seterusnya adalah penegasan yang lebih khusus ke atas kemahiran mendengar bahasa berbanding dengan membaca lisan. Hal ini bagi menjadikan pembacaan yang lebih menarik, guru juga boleh menggabungkan pendekatan mengajar asas membaca dan juga pendekatan kesusasteraan.
Pendekatan Mengajar Bacaan Peringkat Awal
Pelaksanaan pendekatan ini mempunyai beberapa peringkat asas yang perlu dilaksanakan oleh guru iaitu pendekatan binaan dan pendekatan cerakinan. Pendekatan binaan atau sintektik ini merupakan kaedah abjad yang melihat kepada guru melatih pelajar untuk menyebut dan menghafal abjad. Kaedah suku kata pula dapat memperkenalkan kepada pelajar daripada aspek vokal dan konsonan. Huruf konsonan dan vokal menjadikan satu suku kata dan dalam suku kata pula terdapat suku kata terbuka dan suku kata tertutup. Kaedah fonik pula berkenaan dengan bunyi huruf dan bukannya nama huruf. Kemudian huruf akan digabungkan menjadi perkataan.
Kedua pula ialah aspek pendekatan cerakinan atau analitik dengan menggunakan kaedah perkataan yang menjurus kepada memperkenalkan perkataan kepada pelajar dengan menggunakan kad perkataan. Guru boleh menggunakan akronim bagi memudahkan pelajar untuk mengingat perkataan-perkataan tertentu. Malah, pendekatan ini akan memudahkan pelajar untuk mengingati makna perkataan tersebut. Kaedah ayat dan cerita pula lebih memberi penekanan kepada ayat sebagai unit yang bermakna dalam bacaan. Malah lebih menumpukan kepada bahan bacaan yang lebih berbentuk cerita.
Pendekatan Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum (PEBAS)
Pendekatan ini juga terbahagi kepada dua aspek iaitu pendekatan gabungan bunyi kata dan pendekatan abjad dan suku kata. Pendekatan gabungan bunyi kata adalah menekankan aspek pendekatan berdasarkan faktor sistem ejaan bahasa Melayu yang bersifat fonemik, kebanyakan suku kata bahasa Melayu mudah dan jelas serta perkataan yang mula diperkenalkan sudah difahami maknanya oleh pelajar.
Aspek pendekatan abjad dan suku kata adalah menekankan kepada murid yang boleh dikesan melalui murid dapat mengenali huruf dan juga hubungannya dengan bunyi, huruf konsonan pula digabungkan dengan huruf vokal yang menjadikan suku kata, unit-unit kecil vokal juga digabungkan dan pelaksanaan latih tubi sehingga pelajar boleh mengikuti kemahiran yang diajar serta pengukuhan juga dilakukan melalui penulisan.
Pendekatan Keterampilan Proses
Pendekatan keterampilan proses dalam pengajaran bahasa adalah pendekatan yang memberikan kesempatan seluas-luasnya kepada siswa untuk terlibat secara aktif dan kreatif dalam proses pemerolehan bahasa. Pendekatan ini dipandang sebagai pendekatan dalam proses belajar-mengajar yang sesuai dalam era perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi. Pendekatan ini memberikan pengetahuan, pengalaman serta keterampilan yang sesuai untuk memperoleh serta mengembangkan kompetensi bahasa yang dipelajari.
Fokus pembelajaran tidak hanya pada pencapaian tujuan pembelajaran sahaja, melainkan juga pada pemberian pengetahuan, pengalaman dan keterampilan untuk mencapai tujuan pembelajaran tersebut. Pengelolaan kelas dalam pembelajaran dengan pendekatan keterampilan proses dilaksanakan dengan pengaturan kelas, baik secara fizikal mahupun spiritual. Pengaturan dilakukan sedemikian rupa agar siswa mempunyai keleluasaan gerak, merasa aman, bergembira, bersemangat dan ghairah untuk belajar. Oleh hal yang demikian, materi yang dilakukan kepada siswa akan mencapai hasil yang maksimum.
Pendekatan Holistik
Tujuan pendekatan ini adalah untuk mengembangkan potensi individu dalam suasana pembelajaran yang lebih menyenangkan. Pelajar diharapkan dapat menjadi dirinya sendiri. Pelaksanaan mengajar membaca secara holistik perlu bermula pada peringkat awal yang membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuklah pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat sebagai usaha memperoleh manfaat sepenuhnya.
Teks yang digunakan dalam bahan bacaan ialah autentik iaitu teks dalam bentuk penerbitannya yang sebenar. Pergantungan semata-mata pada buku teks dalam kelas akan menghadkan pembacaan terhadap bahan yang tidak lengkap dan telah diubahsuai dengan keperluan dan kepadatan ruang dalam buku teks tersebut. Jadi, guru haruslah menggunakan buku dalam bentuk penerbitan supaya pelajar dapat menghalusi pemikiran penulis lebih mendalam.
Pendekatan Whole Language
Pandangan tentang belajar dan cara mendorong proses tersebut agar pelajar dapat membaca secara efektif dan efisien sehingga mencapai hasil yang optimal. Satu pendekatan dalam pengajaran bahasa dikembangkan berdasarkan pelbagai wawasan dan hasil penelitian daripada pelbagai bidang ilmu antara lain pemerolehan bahasa dan pengembangan membaca dan menulis.
Guru melaksanakan kurikulum yang sudah dirancang dan disiapkan secara terperinci. Pelajar akan memahami informasi yang disampaikan oleh guru secara langsung. Pelajar akan aktif memahami dan menghayati pemahaman dan penghayatan proses pembacaan. Kaedah mengajar membaca adalah seperti bebas, membaca secara berkoperatif, membaca dengan panduan guru, berkongsi membaca dan membaca lantang. Ketika membaca bebas merupakan keadaan di mana pelajar terlebih dahulu membaca keseluruhan bahan bacaan yang dipilih. Pelajar berpeluang membaca bahan yang dipilih daripada sekumpulan bahan yang disediakan oleh guru manakala aktiviti bacaan yang dijalankan dalam bilik darjah yang dikawal oleh guru. Perkara yang perlu ditegaskan dalam kaedah ini adalah arahan awal supaya pelajar membuat persediaan awal sebelum membaca seperti menyediakan soalan sebelum, semasa dan selepas pembacaan.
Pendekatan dalam Mengajar Membaca secara Berpusatkan Pelajar
Pendekatan ini merupakan kaedah untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam aspek membaca dan menggalakkan pelajar menjadi aktif dan tidak pasif. Guru merupakan seorang pemimpin yang memandu para pelajar menjalankan pendekatan dalam membaca sama ada secara berkumpulan atau individu. Pendekatan ini tidak bermakna pelajar akan menentukan bahan pembelajarannya, tetapi pendekatan ini diinterpretasikan dengan pelajar memilih tajuk bacaan, kaedah membaca yang ingin digunakan serta aktiviti yang ingin dilakukan.
Pendekatan Keseluruhan Kata
Pendekatan pengajaran membaca secara keseluruhan kata ini banyak digunakan dalam pengajaran membaca pada masa ini. Penekanan bukan sahaja kepada bunyi huruf tentang bunyi keseluruhan perkataan yang terdapat pada sesuatu bahan bacaan. Kajian yang dijalankan oleh pengkaji seperti Gates 1928 dan Steinberg 1978 (Steinberg, 1982) membuktikan bahawa kanak-kanak dapat membaca dengan lebih cepat jika pengajaran dimulakan dengan unsur-unsur yang bermakna berbanding dengan unsur-unsur yang tidak bermakna.
Membaca secara keseluruhan akan membuatkan guru menyediakan carta atau kad imbas yang mengandungi perkataan yang lengkap dan gambar yang disertakan untuk dijadikan sebagai klu bagi membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Pengulangan juga berlaku bagi memastikan pelajar dapat menguasai sebutan sesuatu perkataan berdasarkan huruf yang tertera di bawah gambar yang diberikan. Latihan mengulang kaji sebutan perkataan dijalankan sehingga pelajar benar-benar mahir dalam menyebut perkataan atau ayat yang mudah secara keseluruhan.
No comments:
Post a Comment