Memilih Bahan Bacaan

PEMILIHAN BAHAN BACAAN
Secara umumnya, bahan bacaan merangkumi buku, akhbar, majalah dan lain-lain. Kebanyakan masyarakat pada zaman yang serba moden ini hanya mementingkan bahan bacaan yang bersifat keseronokan dan tidak membosankan apabila membuat pilihan. Hal ini sedikit sebanyak adalah disebabkan oleh fahaman Hedonisme yang diasaskan oleh Epicurus di mana falsafah hidupnya bertujuan untuk mencapai sesuatu keseronokan. Oleh itu, guru-guru sering menghadapi masalah dalam pemilihan bahan bacaan. Guru-guru seharusnya mengambil berat dan bijak dalam pemilihan bahan kerana terdapat pelbagai jenis bahan bacaan dalam pendidikan seperti bahan fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan bacaan ini dapat mempengaruhi keberkesanan pembacaan. Pemilihan bahan bacaan amat penting dan seharusnya disesuaikan dengan peringkat umur pembaca kerana setiap bahan bacaan mempunyai kosa kata yang berbeza mengikut umur. Setiap pelajar perlu mempunyai arah dan hala tuju dalam pemilihan bahan bacaan. Garis panduan dalam pemilihan bahan ini boleh dapatkan daripada guru-guru sekolah mahupun ibu bapa. Walau bagaimanapun, faktor untuk memilih bahan bacaan seseorang pelajar itu akan berubah mengikut keperluan pembelajaran.
Faktor Pembaca
Bahan bacaan ini mampu mempengaruhi pendidikan akhlak kanak-kanak dan pelajar. Seseorang yang sering membaca bahan bacaan yang berbentuk motivasi, secara tidak langsung akan cenderung untuk memotivasikan diri dalam setiap tingkah laku dan perbuatannya seharian. Walau bagaimanapun, bahan bacaan juga mampu untuk menjadi medium dalam merosakkan akhlak individu. Umpamanya, bahan bacaan ringan yang berbentuk hiburan, lucah dan bukan ilmiah yang banyak menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat terutamanya golongan muda kerana bahan tersebut tidak mengandungi elemen nilai-nilai murni yang dapat memberi kesan positif kepada akhlak individu.
Faktor Bahan
Prinsip pemilihan bahan bacaan antaranya ialah bahan tersebut mestilah bersesuaian, mencabar, menarik, jimat dan mudah serta praktikal. Bahan tersebut mestilah bersesuaian untuk dipelajari dan diikuti oleh para pelajar. Pemilihan bahan bacaan perlu berkait rapat dengan objektif dan matlamat pengajaran bahasa, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran, kaedah pelajar, suasana pembelajaran dan minat pelajar. Bahan pengajaran yang dipilih oleh guru perlulah bersesuaian dengan matlamat dan objektif pengajaran. Misalnya, bahan tersebut yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara (FPN), budaya, adat resam, agama dan kepercayaan masyarakat setempat. Guru juga perlu peka dengan keadaan pelajarnya yang memiliki latar belakang yang berbeza iaitu daripada segi ekonomi mahupun pendidikan. Dalam pada itu, pembelajaran perli diawasi bagi menjamin keberkesanan dalam pembelajaran tersebut.
            Bahan yang mencabar dapat dikategorikan sebagai bahan yang dapat merangsang pelajar untuk berfikir dan mendorongnya untuk terus belajar. Ciri-ciri bahan yang mencabar adalah daripada bahan yang konkrit kepada bahan yang abstrak, daripada bahan mudah kepada bahan yang kompleks, daripada bahan yang mengandungi fakta terasing kepada bahan yang mempunyai hubungan yang bersepadu, daripada bahan yang khusus kepada bahan yang umum (induktif), daripada bahan yang umum kepada bahan yang khusus (deduktif), daripada bahan yang umum kepada bahan yang berbentuk teori dan terakhir ialah bahan daripada masa kini kepada bahan masa yang akan datang.
            Bahan bacaan yang menarik pula dapat dihasilkan dengan menggunakan teknik reka letak seperti peta, lukisan, carta, jadual, graf, gambar dan sebagainya. Setiap daripada reka letak ini perlu disusun berhampiran dengan sesuatu maklumat yang berkaitan kerana dapat memudahkan pelajar untuk membuat rujukan atau memahami teks yang dibaca. Saiz huruf juga haruslah bersesuaian dengan peringkat umur pelajar. Penggunaan ilustrasi dan bahan grafik juga penting kerana kaedah ini berfungsi sebagai penghias dahan pengajaran dan manifestasi visual sesuatu maklumat yang dapat mengukuhkan pemahaman dalam sesuatu bacaan. Selain itu, kualiti kulit dan cara buku dijilidkan turut memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan dan menarik minat pelajar terhadap sesuatu bahan bacaan serta perlu mempunyai arahan yang jelas dan nyata.
            Bahan bacaan pengajaran juga perlulah dalam bentuk yang mudah dan menjimatkan para guru dan pelajar. Guru juga boleh menggunakan kreativiti yang dimiliki untuk menghasilkan bahan bacaan tanpa mengeluarkan wang yang banyak. Bahan tersebut juga mestilah bersifat mudah alih iaitu mudah untuk dibawa ke mana-mana.
            Pemilihan bahan seterusnya adalah yang bersifat praktikal sama ada kepada guru atau pelajar. Dalam hal ini, bahan tersebut mestilah digambarkan dalam situasi yang sebenar dengan menggunakan gaya dan bentuk bahasa yang tepat oleh guru dan pelajar. Kaedah ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar untuk meningkatkan kemahiran komunikasi.
Bersesuaian dengan Peringkat Umur
            Pemilihan bahan bacaan mestilah sesuai dengan peringkat umur pembaca. Pemilihan yang sesuai dengan peringkat umur penting kerana setiap perbendaharaan kata dan bahasa yang digunakan boleh difahami oleh pelajar. Perbendaharaan kata adalah faktor yang paling meyakinkan untuk meramal kesukaran teks. Terdapat dua cara yang biasa digunakan untuk mengukur kesukaran teks melalui faktor ini iaitu dengan mengukur kepanjangan perkataan dan kekerapan perkataan. Perkataan yang panjang merupakan perkataan yang jarang digunakan manakala perkataan yang kerap digunakan merupakan perkataan yang mudah dikenali dan difahami. Terdapat dua jenis bahan bacaan iaitu fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan fiksyen adalah cerpen, cerita dongeng dan novel manakala bahan bukan fiksyen pula adalah sejarah, geografi, bahasa, buku-buku falsafah dan sebagainya.
            Pada peringkat prasekolah iaitu yang berumur 0 hingga 6 tahun, kanak-kanak pada peringkat umur ini belum lagi mempunyai fikiran yang kritis untuk memahami sebab dan akibat atau cara dan tujuan. Pengetahuan kanak-kanak tentang kenyataan dan fakta adalah sangat sederhana. Buku yang sesuai bagi peringkat prasekolah ini perlulah mengandungi teks yang pendek, penuh dengan aksi mudah yang menuju kepada kesimpulan yang memuaskan. Ia juga harus mempunyai perkaitan dengan dunia sehariannya. Hal ini demikian kerana ia dapat membantu kanak-kanak memahami dan menginterpretasikan dunia sekelilingnya.
Peringkat umur 6 hingga 8 tahun, kanak-kanak yang berada pada peringkat umur ini mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan sudah mula mengerti serba sedikit apa-apa yang dibincangkan oleh orang dewasa. Kanak-kanak selalunya telah bersedia untuk membaca jika tertanya-tanya tentang huruf dan perkataan dalam buku, akhbar atau kertas. Meluangkan masa untuk membaca buku-buku yang bergambar dengannya dan seterusnya bercerita dengannya. Keadaan ini akan menarik minat dalam perkataan dan leka untuk meningkatkan tatabahasanya. Kanak-kanak juga boleh menulis dan membaca serta menyalin semula bahan bacaan tersebut.
Pada peringkat ini, kanak-kanak mungkin sudah boleh membaca buku yang mengandungi teks yang banyak. Buku-buku bergambar juga bersesuaian kerana gambar yang terdapat dalam buku boleh memberi gambaran kepada teks dengan jelas. Kanak-kanak juga berminat dengan hal yang berkaitan dengan alam semula jadi dan haiwan.
Peringkat umur 8 hingga 10 tahun adalah kanak-kanak yang mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan seronok. Bahan bacaan yang mengandungi unsur cerita dongeng dan cerita rakyat amat sesuai digunakan untuk membantu kanak-kanak berimaginasi.
            Seterusnya kanak-kanak yang berumur 10 hingga 12 tahun telah mempunyai sikap yang kritis terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk menerima pengetahuan baharu. Perkembangan tatabahasa juga berkembang dengan cepat dan mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mengungkapkan idea yang abstrak. Kanak-kanak juga berusaha untuk belajar mendapatkan maklumat daripada buku. Kanak-kanak juga mampu untuk mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku. Oleh itu, pada peringkat ini, buku yang berhubung dengan seni dan kerja tangan mampu untuk menarik minat.
Isi Kandungan
Bahan bacaan yang baik ialah yang mempunyai isi kandungan yang bertepatan dengan tajuk. Pelajar seharusnya mengenal pasti jenis bahan bacaan yang dibaca sama ada berbentuk fiksyen atau bukan fiksyen. Selain itu, isi kandungan juga dapat memberi mesej dan pengajaran kepada pembaca. Pemilihan bahan bacaan yang tepat dapat merangsang kesedaran dan pemikiran yang kritis para pembaca.
Faktor Ayat
            Jika struktur ayat adalah kompleks, pemahaman terhadap petikan adan menjadi sedikit sukar. Penggunaan perkataan untuk menerangkan sesuatu perkara adalah berlebihan seperti perkataan lebih suka, lebih kurang dan beberapa menyebabkan kefahaman teks menurun. Manakala penggunaan perkataan kemungkinan seperti mungkin, selalunya, boleh jadi dan kadangkala boleh menyebabkan kekaburan dan ketidakjelasan teks yang dibaca. Kesukaran ayat boleh dikategorikan kepada lima iaitu, kata kerja berbanding kata kerja pasif, proses pembentukan kata nama, kata kerja bantu dan pemahaman serta penggantian.
            Bahan bacaan tambahan yang dipilih hendaklah bersesuaian dari segi laras dan aras bahasa mengikut keperluan dan tahap pelajar. Perkara yang sepatutnya dielakkan adalah penggunaan istilah yang boleh menimbulkan isu sensitif, penggunaan ayat yang kesat dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia.

No comments:

Post a Comment