Masalah Dalam Membaca

Membaca merupakan suatu proses yang dilakukan serta digunakan oleh pembaca untuk mendapatkan mesej yang hendak disampaikan oleh penulis melalui media yang bercorak bahasa tulisan. Menurut Anderson (1972), dari segi linguistik membaca adalah suatu proses penyandian kembali dan pembacaan sandi (a recording and decoding process), berlainan dengan percakapan (Henry Guntur Tarigan, 1994: 7). Harris dan Sipay (1980) pula menyifatkan bahawa proses membaca sebagai suatu proses untuk mendapatkan tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang yang bercetak atau bertulis.
Kenedy (1981) pula mendefinisikan bacaan sebagai keupayaan seseorang untuk mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk tersebut dengan bunyi atau makna yang telah diketahui. Seterusnya berdasarkan pengalaman lalu, pembaca dapat memahami dan mentafsirkan maksudnya. Marohaini Yusoff (1989) telah merumuskan proses membaca sebagai perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Hanya dua kompenan kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca, iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa-apa yang dibaca. Menurut Kamaruddin Haji Husin dan rakan-rakan (1997), membaca merupakan satu proses pemikiran yang membina kebolehan untuk menilai, mengulas dan mengkritik apa-apa yang dibaca dengan tepat (Adenan Ayob dan Abdullah Yusof, 2010: 102).

Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, membaca didefinisikan sebagai mengucap apa yang bertulis atau tercetak pada buku, papan tanda atau sebagainya secara lisan dengan kuat. Oleh yang demikian, membaca merupakan suatu proses yang dilakukan oleh pembaca untuk membentuk atau memberikan makna terhadap teks yang dibacanya dengan menggunakan kandungan teks dan pengetahuan yang sedia ada pada pembaca sebelum membuat keputusan.

Membaca merupakan salah satu kemahiran yang penting dalam kehidupan seharian kita. Hal ini demikian kerana kita perlu membaca untuk memperoleh maklumat tertentu. Kita telah diajar untuk membaca sejak bersekolah di prasekolah dan ada ibu bapa yang mengajar anak-anak membaca di rumah sebelum anak-anak mereka belajar di sekolah. Selain itu, seorang pelajar menjalani akan proses pembelajaran di sekolah selama sebelas, iaitu darjah satu sehingga tingkatan lima. Pelajar akan belajar berdasarkan sukatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mengikut tahap pembelajaran pelajar. Walau bagaimanapun, masalah yang berkaitan membaca seperti masalah pelajar buta huruf tetap ada di sekolah.

Masalah membaca merupakan masalah yang lazim berlaku. Walaupun pelajar telah menerima pendidikan dan pengajaran di sekolah yang disampaikan oleh guru, terdapat juga pelajar yang masih tidak mampu untuk membaca. Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor-faktor tersebut boleh dibahagikan kepada dua, iaitu faktor luaran dan faktor dalaman.

Faktor luaran merupakan faktor yang disebabkan oleh fizikal atau persekitaran pembaca. Faktor fizikal merupakan faktor yang melibatkan fizikal atau jasmani pembaca seperti penglihatan, pendengaran, dan sebagainya. Menurut Mahzan Arshad (2008), kecacatan yang ringan terhadap deria tidak akan mendatangkan kesan yang negatif terhadap kebolehan membaca, namun kecacatan yang berat boleh menyebabkan ketidak upayaan membaca.

Penglihatan merupakan elemen yang penting dalam proses membaca. Masalah penglihatan akan memyebabkan proses membaca terjejas. Menurut Marohaini Yusoff (1999), beliau menyatakan bahawa proses membaca bermula dengan melihat dan mengecam perkataan atau lambang-lambang bahasa yang hendak dibaca. Juling merupakan salah satu masalah penglihatan. Juling akan menyebabkan imej bagi satu benda yang sama kelihatan tidak sama saiz dan bentuknya (Mahzan Arshad, 2008: 182). Selain itu, rabun dekat dan jauh akan menyebabkan pembaca tidak dapat melihat sesuatu pada jarak yang jauh atau dekat. Masalah penglihatan akan memberikan kesan yang buruk terhadap kanak-kanak yang akan menggunakan peglihatan pada peringkat awal dalam kemahiran membaca untuk mencerap imej huruf pada paparan permukaan bertulis. Hal ini akan menyebabkan masalah bagi kanak-kanak untuk meneruskan proses membaca pada peringkat seterusnya, iaitu peringkat mendekod (Mahzan Arshad, 2008: 182).
Pendengaran juga merupakan faktor yang penting dalam proses membaca. Pendengaran yang kurang baik akan menyebabkan masalah untuk belajar membaca. Menurut Mahzan Arshad (2008), mereka yang mempunyai masalah pendengaran akan menghadapi masalah untuk membezakan bunyi vokal dan konsonan. Sebagai contoh, kanak-kanak tidak dapat untuk membezakan antara vokal /a/ dengan vokal /e/, /u/ dengan /o/ dan /i/ dengan /ə/. Menurut beliau lagi, kerencatan pendengaran mempunyai dua ketagori, iaitu kerencatan sementara dan kerencatan kekal. Masalah kerencatan pendengaran boleh dirawat dan rawat hanya boleh diberikan oleh doktor perubatan dan pakar Telinga, Hidung dan Tekak sahaja.

Selain daripada pendengaran, pertuturan juga memainkan peranan yang penting dalam proses membaca. Masalah dalam pertuturan akan mengakibatkan masalah dalam membaca. Masalah pertuturan merupakan masalah seperti kecelaruan bunyi suara, nada yang tidak menentu, pertutuan spastik dan sebagainya. Hal ini berpunca daripada masalah emosi, kelewatan pertumbuhan, kurang pendengaran, pertumbuhan kerongkong yang tidak lengkap, sumbing, dan sebagainya (Mahzan Arshad, 2008: 183&184). Walau bagaimanapun, tidak semua punca masalah pertuturan boleh mengakibatkan masalah dalam membaca.

Selain faktor fizikal, masalah membaca juga boleh disebabkan oleh faktor persekitaran. Persekitaran memainkan peranan yang agak penting dalam proses membaca. Hal ini demikian kerana persekitaran terutama persekitaran rumah yang kondusif dan selesa dapat memberikan kesan yang positif terhadap proses membaca. Menurut Marohaini Yusoff (1999), beliau menyatakan bahawa terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan persekitaran terutama rumah. Antaranya ialah sosiobudaya di rumah, kestabilan sosial, corak interaksi dan sebagainya. Di bilik darjah pula, guru-guru dan rakan-rakan memainkan peranan penting dalam proses membaca. Menurut Pearson dan Johnson (1978), guru, rakan sebaya dan ekologi di dalam bilik darjah mempengaruhi bacaan dan kefahaman. Sebagai contoh, sekiranya keadaan di dalam bilik darjah amat bising dan tidak selesa, pelajar tidak dapat untuk membaca dengan selesa. Oleh yang demikian, mereka akan memilih untuk tidak membaca. Kesannya, pelajar tersebut akan mengalami masalah membaca sekiranya hal ini berlaku secara berterusan.

Masalah membaca juga disebabkan oleh masalah yang melibatkan oleh kaedah pengajaran guru di dalam kelas. Pengajaran yang disampaikan oleh guru amat penting untuk pelajar khususnya memperolehi maklumat dan kemahiran dalam pembelajaran terutama membaca. Kegagalan guru dalam proses mengajar akan memberikan kesan yang negatif terhadap pelajar. Masalah ini dapat dibahagikan kepada tiga, iaitu guru kurang pengalaman dalam pengajaran, penggunaan kaedah pengajaran yang tidak sesuai dan ketiadaan kaedah yang berkesan dalam pengajaran membaca. Masalah guru kurang pengalaman dalam pengajaran menjadi faktor yang utama. Hal ini demikian kerana seseorang guru yang kurang pengalaman tidak menggunakan kaedah membaca yang sepatutnya digunakan seperti kaedah suku kata atau apa-apa kaedah yang baik.

Selain masalah dalam kaedah pengajaran. Masalah terhadap teks yang digunakan juga menjadi salah satu faktor luaran yang menyebabkan masalah membaca. Teks yang mudah dan menarik memudahkan pembaca untuk membaca dan memahami kandungan teks tersebut. Namun, teks yang terlalu tinggi bahasanya akan memberi kesukaran terhadap pembaca untuk memahami apa-apa yang hendak disampaikan melalui teks tersebut. Teks yang tidak menarik terutama teks yang mempunyai isi kandungan atau bahan bacaan yang sudah lama dan kurang sesuai dengan keadaan semasa pelajar akan memberi impak terhadap pelajar. Selain itu, teks yang sukar difahami seperti teks yang terlalu panjang serta ceritanya ketinggalan zaman akan memyebabkan pelajar kurang berminat untuk membaca teks tersebut terutama pelajar-pelajar di sekolah rendah. Kesannya, mereka akan menghadapi masalah membaca kerana mereka tidak dapat untuk berlatih membaca berdasarkan teks yang telah disediakan.

Masalah membaca juga disebabkan oleh masa pengajaran. Hal ini demikian kerana masa pengajaran merupakan elemen yang penting dalam pembelajaran membaca. Masa pengajaran membaca yang diperuntukkan terlalu singkat dan tidak mencukupi akan menyebabkan guru-guru tidak dapat membantu pelajar untuk membaca dengan berkesan terutama pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan yang lemah atau sederhana. Oleh yang demikian, pelajar-pelajar tersebut tidak dapat menguasai kemahiran membaca dengan berkesan. Sebagai contoh, masa yang diperuntukkan untuk belajar membaca hanya 30 minit sahaja bagi pelajar darjah satu, dua, dan tiga. Di samping itu, mereka perlu mempelajari kemahiran-kemahiran lain melalui mata pelajaran yang lain. Hal ini akan memberikan suatu situasi yang sukar bagi mereka terutama pelajar yang berada pada darjah satu, dua, dan tiga. Kesannya, mereka akan mengalami masalah dalam pembelajaran khususnya masalah membaca.

Selain faktor luaran, faktor dalaman juga mendorong kepada masalah membaca. Terdapat beberapa faktor dalaman yang mempengaruhi masalah membaca. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi masalah membaca ialah dalaman diri pembaca itu sendiri berpunca dari dalam diri mereka sendiri. Dalam faktor dalaman ini, pembaca mengalami masalah dari aspek kognitif atau inteleknya sendiri. Selain itu, masalah dalaman yang wujud dalam diri pelajar yang menyebabkan sebilangan daripada mereka mengalami masalah membaca itu sendiri ialah aspek psikologi. Masalah ini dipengaruhi oleh pelajar dan bukannya dipengaruhi oleh masalah luaran. Menurut Marohaini Yusoff (1999), faktor dalaman yang mempengaruhi masalah pembacaan pembaca dalam aspek intelektual adalah seperti kecerdasan, kebolehan berbahasa, dan pengalaman sedia ada pada diri pembaca itu sendiri.

             Aspek kecerdasan dan kebolehan pelajar membaca adalah saling berkait. Sekiranya pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan minda yang tinggi, maka mereka akan mampu untuk memberi perhatian dan memahami sesuatu struktur ayat yang dibaca dengan  lebih mudah tanpa perlu mengulang serta meneliti berulang kali. Perkara ini menampakkan perbezaan ketara sekiranya perbandingan dibuat dengan pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan yang lebih rendah. Golongan pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan yang rendah ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk memahami sesuatu bahan yang dibaca. Menurut Roe, Stoodt dan Burn (1978), pertalian yang rapat antara kecerdasan dan kebolehan membaca ini lebih ketara dalam kalangan pelajar pada peringkat menengah daripada murid peringkat rendah. Perkara ini akan menimbulkan masalah kepada pelajar diperingkat menengah kerana kecerdasan dan kemampuan untuk memahami struktur ayat yang lebih kompleks dan canggih. Kesannya, pelajar yang mempunyai tahap kemampuan kecerdasan akal yang rendah akan mengalami kesukaran untuk memahami dan bersaing dengan rakan-rakan yang lain dalam matapelajaran yang dipelajarinya.

             Pengetahuan sedia ada yang terbatas juga merupakan salah satu faktor dalaman pembaca  yang mendorong berlakunya masalah membaca. Pengalaman sedia ada ini diperolehi daripada kehidupan seharian pembaca. Kesemua pengalaman dan pengetahuan sedia ada ini diperolehi di rumah, didikan ibu bapa, sekolah, sosiobudaya dan sebagainya. Sekiranya seseorang pembaca itu hidup dalam suasana keluarga yang mempunyai tabiat membaca, nescaya pembaca tersebut akan terdorong untuk membaca walaupun secara tidak langsung. Sememangnya pengaruh persekitaran berkait rapat dengan pengalaman sedia ada seseorang pembaca untuk mengukur tahap kebolehan membaca dengan lancar dan memudahkan pemahaman terhadap sesuatu yang dibaca. Kadang-kala terdapat juga sebilangan kecil pembaca yang hidup dalam suasana budaya membaca namun  kefahaman dan pemahaman sesuatu yang dibaca pada tahap yang rendah. Hal ini sememangnya tidak dinafikan, walaupun suasana persekitaran pelajar mengalakkan pembacaan tetapi tahap kemampuan kognitif pembaca tersebut ditahap yang rendah untuk menerima dan menilai sesuatu amalan tersebut khususnya membaca.

            Kebolehan berbahasa merupakan salah satu faktor yang besar mendorong ke arah masalah membaca. Pembaca yang tidak luas tahap pembacaan dan lemah dalam tatabahasa ditambah pula dengan kehidupan dalam masyarakat yang menggunakan bahasa dialek kedaerahan menambahkan lagi masalah kesukaran seseorang pembaca untuk membaca. Mungkin mereka mampu untuk memahami apa yang dibaca. Hal ini  kerana, sekiranya seseorang pembaca itu bertutur dalam dialek kenegerian, pembaca tersebut mengalami kesukaran untuk menyampaikan maklumat yang dibacanya kepada orang lain. Pembaca tersebut hanya memahami perkara yang dibaca untuk dirinya sahaja dan bukannya menyampaikan perkara yang dibaca kepada orang lain.

            Menurut Marohaini Yusoff (1999), faktor dalaman yang mempengaruhi masalah pembacaan pembaca (murid) dalam aspek psikologi adalah seperti minat,motivasi dan konsep diri merangkumi motivasi intrinsik iaitu motivasi dari dalam diri pembaca itu sendiri. Minat dan motivasi memainkan peranan besar bagi memupuk kebolehan membaca dalam kalangan pelajar. Kemahiran membaca sebenarnya memerlukan pembelajaran berterusan untuk memahirkan seseorang pelajar dengan huruf-huruf dan struktur ayat. Maka, minat dan motivasi amat diperlukan seseorang pelajar untuk menyemai minat membaca.

            Menurut Sylvia Ashton Warner (1973), satu kaedah untuk meningkatkan minat membaca dan memotivasikan pelajar membaca dengan menggunakan cerita-cerita yang dibuat oleh pelajar sendiri berdasarkan topik-topik yang diminatinya. Pada kebiasaanya, pelajar akan tertarik sesuatu bahan bacaan yang menarik minatnya. Sekiranya sesuatu bahan bacaan dapat menarik minat mereka, maka mereka akan terus membaca walaupun sesuatu bahan bacaan yang dibaca itu dianggap susah berdasarkan peringkat umur mereka. Dalam konteks ini, guru perlu peka terhadap persekitaran disekeliling pelajat supaya pelajar lebih minat untuk menerapkan minat pembacaan dari awal usia lagi.

            Guru perlu mencari suatu kaedah bagaimana menunjukkan kepentingan membaca dengan menjadikan membaca sebagai suatu amalan hidup. Program Buku Nilam perlu kerap dianjurkan dan pengisisannya perlu menarik minat pelajar. Bagi pelajar yang mempunyai masalah membaca dan tahap kebolehan membaca adalah tahap paling rendah. Program Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah pelajar yang lambat atau belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Setiap kelas dan rumah perlu mempunyai bahan bacaan seperti majalah kanak-kanak supaya minat terhadap pembacaan disemai sejak dari kecil lagi.

            Selain itu, masalah membaca juga disebabkan oleh masalah kecelaruan bahasa atau disebut sebagai disleksia. Menurut Noor Aina Dani (1968), beliau mendefinisikan disleksia sebagai kecelaruan bahasa yang berlaku dalam kalangan individu untuk menguasai kemahiran membaca, menulis atau mengira (Adnen Ayob & Abdullah Yusof, 2010: 109). Pelajar yang mengalami masalah kecelaruan bahasa akan mengalami kesukaran dalam pembelajaran seperti pembelajaran membaca. Masalah ini juga tidak mempunyai penawar. Menurut Adenan Ayob dan Abdullah Yusof (2010), mereka menyatakan bahawa pelajar yang mengalami masalah membaca disebabkan oleh masalah disleksia akan melakukan tindakan seperti hanya berpura-pura membaca buku dengan berpandukan gambar yang dilihatnya, teragak-agak apabila disuruh membaca, dan menunjukkan teks dengan jari semasa membaca. Selain itu, mereka juga akan mengalami kekeliruan dengan kedudukan perkataan. Contohnya makan menjadi makna.

            Oleh yang demikian, para guru hendaklah peka akan masalah yang dihadapi oleh setiap pelajar terutama dalam masalah membaca. Sekiranya masalah pelajar yang mengalami masalah ini dapat dikesan dengan lebih awal, mereka dapat dibantu dengan kaedah yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Melalui tindakan ini, pelajar yang bermasalah dapat menjalani proses pembelajaran dengan lebih teratur dan tidak ketinggalan.

            Perasaan murid tentang diri mereka juga mempengaruhi pencapaian kebolehan membaca. Menurut Roe, Stoodt, dan Burns (1978), konsep diri merupakan satu set kepercayaan dan sikap seseorang individu yang mempercayai kebolehan dirinya. Pelajar yang mempunyai konsep diri yang negatif biasanya kurang keyakinan tentang kebolehan diri dan mempunyai perasaan rendah diri. Pelajar yang yakin kepada dirinya sendiri biasanya akan berjaya jika hendak dibandingkan dengan pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang negatif. Sebagai contoh pengertian mengenai konsep diri positif dan negatif, kebolehan seseorang pembaca memahami struktur ayat Bahasa Inggeris. Pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang positif akan mampu membaca dan memahaminya walaupun terpaksa membuka kamus. Namun sebaliknya berlaku kepada pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang negatif, sekiranya persepsi mereka mengatakan mereka tidak minat maka mereka langsung untuk mencuba memahami struktur sesuatu ayat tersebut. Secara umumnya, masalah membaca yang berpunca dari dalam diri adalah berbeza dengan faktor luaran namun ianya saling berkait dan memberi kesan terhadap satu sama lain.

            Aspek-aspek yang dinyatakan memainkan peranan penting dalam menjadikan bahan bacaan menarik dan mudah difahami. Dengan daya tarikan serta bahan bacaan, seseorang yang membacanya lebih mudah tertarik untuk meneruskan bacaan selain memudahkan pemahaman melalui bacaan tersebut. Dengan pemahaman tentang bahan bacaan, matlamat proses membaca akan berjalan dengan baik. Kefahaman tentang konsep membaca adalah perlu untuk memastikan seseorang tahu matlamat proses pembacaan.

            Walau bagaimanapun, masalah-masalah yang berkaitan dengan proses membaca juga perlu diteliti bagi membolehkan sebarang tindakan meningkatkan proses bacaan boleh dilakukan dengan efektif. Melalui penelitian yang dijalankan, faktor-faktor yang menyumbang kepada kegagalan memperoleh maklumat dan ilmu daripada proses membaca dapat dikurangkan. Selain itu, lebih ramai orang akan dapat menguasai konsep sebenar pembacaan seterusnya menjadikan membaca sebagai budaya masyarakat.

No comments:

Post a Comment